Peniaga perlu bertaraf dunia
Oleh Azman Zakaria
DATUK Seri Najib Razak mahu usahawan Malaysia menyahut cabarannya supaya menanam azam tinggi dan seterusnya berjaya di peringkat global.
Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka mesti sentiasa tabah menghadapi cabaran kerana kejayaan mengatasi cabaran akan menjadikan mereka lebih kuat daripada sebelumnya.
“Jadikanlah mereka yang terbaik sebagai penanda aras anda dan buktikan kepada diri sendiri yang anda mampu menjadikan impian anda sebagai kenyataan,†katanya pada majlis penyampaian Anugerah Tahunan Usahawan Ernst & Young (EOY) Malaysia 2006, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Tony Fernandes yang terpilih sebagai Usahawan EOY Malaysia 2006 serta pemenang empat kategori anugerah lain.
Najib berkata, usahawan adalah golongan bersemangat tinggi dan mempunyai kreativiti untuk melakukan inovasi, berani berdepan risiko dan sentiasa tabah menghadapi cabaran untuk mencapai cita-cita.
Usahawan juga, katanya, mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti peluang perniagaan yang bagi orang kebanyakan akan melihatnya sebagai halangan.
“Inilah yang menjadikan usahawan sebagai nadi ekonomi negara,†katanya sambil menjelaskan bahawa satu kajian peringkat global yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan 9.8 peratus usahawan dunia dijangka mewujudkan hampir 75 peratus peluang pekerjaan dalam perniagaan baru.
Dalam hubungan ini, katanya, keupayaan golongan berbakat itu yang berjaya mengharungi cabaran dan menjadi ahli perniagaan yang berjaya, tidak harus dipersia-siakan.
Najib berkata, dalam era globalisasi dan liberalisasi, halangan perdagangan semakin berkurangan dan tiada seseorang dapat menghindarkan diri daripada sebarang persaingan.
Katanya, meskipun urusan perniagaan mungkin hanya sekadar dalam negara, persaingan juga akan tetap dihadapi daripada syarikat luar yang melabur dalam dalam negara.
“Oleh itu, kita tidak lagi boleh berlengah tetapi membuat persediaan untuk menghadapi cabaran ini dan membentuk kelebihan daya saing tersendiri. Jika mahu bersaing, kita mesti lebih kreatif daripada negara lain,†katanya.
powered by performancing firefox











